Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah
masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya
mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang
pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan
anaknya dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun
dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat
yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang
tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh
kurang adab anak itu."
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas
belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai
pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah
sungguh menyiksakan himar itu."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan
anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang
berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak
dikenderai."
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim
telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka,
katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan
manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan
melainkan kepada
Allah s.w.t. sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku,
tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir.
Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga
perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya
(mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya
(keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah
orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan
meringan-ringankannya."
Terdapat banyak lagi kisah2 menarik hanya di http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/1001kisahteladan2.htm
No comments:
Post a Comment